Wednesday, 7 December 2011

Ada lagi pengajaran cerita......


Rancangan Pengajaran Harian

Mata pelajaran     :  Bahasa Melayu
Tahun                  :  6 Delima
Bilangan murid     :  37 orang
Tarikh                 :  8 November 2011
Masa                  :  8.40 - 9.40 pagi
Tajuk                  :  Cerita Asal Usul Nama Sabak Bernam
Fokus utama       :  11.3 Aras 2 (i)
F. sampingan      :  5.2 Aras 2 (i)
Hasil pemb.        :  Pada akhir sesi pembelajaran, murid diharapkan dapat;
                             (a) mengemukakan pendapat berkaitan nilai dan pengajaran yang terdapat di dalam teks cerita yang dibaca.                       
Nilai                   :  Bekerjasama, keyakinan diri, berusaha
Pengetahuan sedia ada  :  Murid telah mempelajari beberapa cerita sebelum ini dan mengetahui bagaimana mencari nilai dan pengajaran berpandukan teks cerita.
Bahan bantu mengajar  :  Kuali, sudip, apron, kad perkataan, teks cerita (buku teksTahun 6),Kamus Dewan dan lembaran kerja.

Refleksi Pengajaran

Kekuatan

     Pada pendapat saya, kekuatan yang dapat dikesan semasa aktiviti pengajaran salah satunya ialah kelantangan suara saya.Suara saya yang lantang memudahkan murid mendengar apa yang disampaikan dan membantu murid memahami apa yang dimaksudkan oleh saya.Arahan yang diberikan dapat difahami oleh murid dengan mudah.Selain itu, pergerakan tubuh badan juga dapat menarik perhatian murid.Contohnya semasa menyanyi saya bergerak dan semasa murid memberikan jawapan saya meniru gaya murid berkenaan.
Saya suka membuat lelucon agar murid tidak berasa bosan.Selain itu, kemesraan saya kepada murid memang selalu diamalkan agar murid berasa dihargai dan disayangi.Tindak balas daripada murid menunjukkan mereka berminat dengan pengajaran tersebut dan objektif dapat dicapai.

Kelemahan

     Kelemahan yang agak ketara ialah penggunaan bahan bantu mengajar yang kurang menarik seperti kuali bersaiz kecil untuk dikaitkan dengan tajuk cerita (kawah).Kemungkinan ada murid yang tidak berminat melihat alatan yang biasa dilihat di rumah mereka seperti kuali dan sudip.Selain itu, kelemahan lain ialah pengawalan kelas terutama murid-murid yang duduk di bahagian belakang kelas tidak diawasi sepenuhnya.Kebanyakan aktiviti hanya dilakukan di hadapan kelas sahaja dan saya jarang bergerak ke belakang untuk memantau keadaan murid.Faktor penggunaan dan ketepatan masa juga perlu diberi perhatian.Saya menggunakan masa lebih daripada 5 minit semasa set induksi, menggunakan banyak masa semasa aktiviti perbincangan dan pembentangan wakil kumpulan sehinggakan semasa membuat rumusan pada bahagian penutup saya hanya ada lebih kurang 2 minit sahaja.Tambahan pula, sudah ada seorang guru menunggu di luar kelas tersebut untuk mengajar mata pelajaran berikutnya.

Cara Mengatasi Kelemahan

     Beberapa perubahan yang perlu saya lakukan termasuklah;
(a) bercakap dengan intonasi suara yang sesuai dengan aktiviti yang dijalankan.
(b) lebih peka dengan suasana pembelajaran termasuklah memantau keadaan murid di bahagian belakang kelas.
(c) menggunakan bahan bantu mengajar yang lebih sesuai seperti muzik mengiringi nyanyian dan LCD.
(d) mengikut peruntukan masa yang ditetapkan dan menepati perancangan asal.

     Kesimpulannya; guru hendaklah bijak mengawal emosi, bersikap tenang menjernihkan persepsi, guru hendaklah bijak mengambil peluang, jika terlepas tertutup ruang, guru hendaklah bijak menyelesaikan masalah, arus cabaran dapat ditongkah, guru hendaklah bijak menghargai pengalaman, terang perjalanan hidup berpedoman.

Thursday, 3 November 2011

Bahan Pengajaran Bahasa Melayu

Bahan Pengajaran Bahasa Melayu Tahun 6

Tema                   :  Unit 8 Cerita Rakyat
Tajuk                  :  Puteri Santubong Puteri Sejinjang


 Gunung Santubong

Set Induksi



Kisah Rakyat
Puteri Santubong Puteri Sejinjang
Cerita ini diperturunkan dari generasi ke generasi kerana ada unsur-unsur pengajarannya di dalamnya. Selain itu untuk memberi ‘logik’ kisah kejadian dan kemunculan sesuatu perkara. Oleh kerana ia merupakan cerita lisan iaitu cerita mulut yang diceritakan dari nenek, ibu bapa kepada kepada cucu dan anak-anak kecil, ceritanya sentiasa berubah, berkurang atau bertambah untuk menyedapkan lagi cerita.
Puteri Santubong & Puteri Sejinjang adalah merupakan puteri-puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama 7 orang saudara lelaki mereka kerana ayahanda mereka (Sultan Brunei) telah dibunuh oleh satu komplot sekitar abad ke-18.
Memandangkan 9 orang putera & puteri ini dalam pelarian ingin menuju ke Tanah Melayu yang memaksa mereka menyeberangi Laut China Selatan, maka saudara-saudara lelaki mereka telah bersepakat untuk meninggalkan 2 orang saudara perempuan mereka, Puteri Santubong & Puteri Sejinjang di satu kawasan yang kini terletak di Kuching.
Kedua-dua puteri tersebut akhirnya mencari tempat perlindungan di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Santubong. Dan kerana berlaku perbalahan di antara dua beradik tersebut, maka Puteri Sejinjang telah mencari tempat perlindungan lain di sebuah gunung yang bertentangan dengan Gunung Santubong iaitu Gunung Sejinjang.
Bagi orang-orang Dayak di Sarawak yang selalu ke kawasan dua gunung tersebut mula berasa hairan. Mereka berfikir akan dari mana datangnya kedua-dua gadis tersebut yang mereka tidak pernah temui sebelum itu di kawasan tersebut. Mereka menganggap kedua-dua puteri tersebut telah ‘Turun Dari Kayangan’ (seperti yang terdapat di dalam lirik lagu Puteri Santubong – “anak dak dewa turun kayangan”.
Sementara itu, 7 orang bersaudara (putera-putera Sultan Brunei) itu pula dikatakan meneruskan pelayaran mereka sehingga ke Pulau Pinang. Setelah mendarat dan berjalan untuk mencari tempat tinggal, sesampainya di suatu kawasan di Pulau Pinang, burung bayan yang mereka bawa dari Brunei telah terlepas. Maka dari situlah kawasan di mana burung bayan mereka terlepas mula dikenali sebagai Bayan Lepas.
Kini, keturunan dari 7 orang putera Sultan Brunei itu masih menetap di kawasan tersebut dan sebahagiannya telah berhijrah ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia ini. Cuma keturunan mereka ini tidak lagi memakai sebarang gelaran atau panggilan di depan nama mereka seperti Pengiran atau Datu. Mungkin 7 orang Putera tersebut tidak mahu lagi mengunakan gelaran tersebut agar kumpulan komplot yang membunuh ayahanda mereka itu tidak akan dapat menjejaki mereka dan keturunan mereka lagi. Namun, keturunan 7 orang putera tersebut kini masih percaya yang mereka sememangnya adalah dari keturunan Sultan Brunei.

 Rancangan Pengajaran Harian
Mata pelajaran     : Bahasa Melayu
Tahun                   : 6 Zamrud
Bilangan pelajar   : 36 orang
Tajuk                    : Cerita Rakyat
                               Puteri Santubong Puteri Sejinjang
Fokus utama        : 11.2 Aras 2 (i)
Fokus sampingan : 7.2  Aras 2 (i)
Objektif      : Murid diharapkan dapat ;
(i)                Menyatakan perkara menarik tentang cerita daripada aspek penggunaan perkataan, ayat, nilai dan pengajaran.
(ii)             Menyenaraikan ayat yang memberi kesan dalam teks dan lirik lagu dengan menyatakan alasan.
Aktiviti       : 1. Mendengar lagu Puteri Santubong Puteri Sejinjang.
                     2. Bersoal jawab tentang maksud lagu dan cerita tentang lagu.
                     3. Menyanyikan lagu.
                     4. Berbincang perkara menarik tentang cerita.
                     5. Menjawab soalan kefahaman.
                     6. Menyatakan tempat-tempat menarik di Malaysia.
                     7. Merumus isi pelajaran dan nilai murni.
Pengetahuan sedia ada   : Murid pernah mendengar cerita tersebut.
Bahan bantu mengajar   : Gambar, lirik lagu (powerpoint), teks cerita.

REFLEKSI PENGAJARAN
Pada pandangan saya, kekuatan yang dapat dikesan semasa mengendalikan p&p di atas adalah kelantangan suara, pergerakan tubuh badan dan kemesraan saya dapat menarik perhatian murid-murid.Suara guru yang lantang dengan intonasi turun naik suara memudahkan murid mengikuti pengajaran, memahami arahan dan murid-murid lebih mudah melalui proses pembelajaran.Kelantangan suara dan sesekali tegas memudahkan saya mengawal disiplin di bilik darjah.Selain itu, saya yang memang gemar menyanyi turut menyanyi bersama dengan murid-murid untuk menceriakan suasana dan aktiviti pengajaran saya.Kemesraan dengan murid saya kekalkan agar mereka berasa disayangi dan dihargai.Respons daripada murid-murid menunjukkan mereka berminat untuk belajar dan menyelesaikan tugasan yang diberi.
Kelemahan yang agak ketara ialah aktiviti nyanyian lagu kerana menggunakan bahasa Melayu Sarawak yang agak janggal kepada murid-murid.Saya yang terpaksa memainkan peranan utama sebagai penyanyinya.Pada akhirnya setelah diberikan lirik lagu....murid-murid pun dapat mengikutinya.Set induksi agak panjang, sepatutnya ketepatan masa semasa pengajaran dan pembelajaran perlu dititikberatkan.Kekurangan ini akan saya perbaiki pada masa akan datang dengan membuat perancangan yang lebih rapi terutama aktiviti pengajaran agar tidak menimbulkan kebosanan kepada murid-murid saya.Faktor ketepatan masa juga perlu diambil kira.Setelah membuat refleksi, masih banyak yang perlu saya baiki semasa mengajar di dalam kelas.Saya hanyalah seorang insan biasa bergelar guru yang akan berusaha mengubah diri agar menjadi guru yang lebih berkualiti.